Ucapan MB Di Majlis Mesra Kaum 2011
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Maksud Ayat 13: Surah Al Hujuraat)

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana diatas limpah dan kurnia daripada-Nya membolehkan kita untuk sama-sama menganjurkan Majlis Makan Malam Mesra Kaum 2011. Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK) yang telah mengambil inisiatif mengadakan majlis ini. Sesungguhnya majlis mesra kaum adalah sebahagian daripada amalan Islam. Semoga majlis sebegini dapat mengekalkan suasana harmoni antara kaum yang telah wujud sekian lama akan terus terjaga dan terpupuk dengan lebih utuh dan padu, InsyaAllah.
Sekarang kita berada dalam bulan November 2011. Baru pada bulan lepas (Oktober 2011) kita menyambut Ulangtahun Kedua Puluh Satu Kerajaan Negeri Kelantan ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam. Alhamdulillah, sekalipun pelbagai dugaan yang dihadapi, pasang surut dalam pilihan raya, kerajaan ini masih terus kekal diberikan amanah oleh rakyat Kelantan selaku pentadbir. Dalam tempoh dua dekad ini, pelbagai perubahan dan dasar yang telah kita perkenalkan demi kebaikan semua pihak. Sekalipun dasar yang kita perkenalkan dinamakan dasar Membangun Bersama Islam, hakikatnya ia tetap mesra untuk semua rakyat Kelantan. Justeru ia memelihara hak penganut agama yang lain untuk mempraktikkan ajaran agama dan kepercayaan mereka masing-masing. Natijahnya keharmonian kaum berjalan baik terhadap kaum minoriti bukan Melayu di Negeri Kelantan.
Hakikatnya, Islam yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah membenarkan sebarang penindasan diatas nama kaum. Jika ditinjau di dalam sejarah, Islam adalah agama dari Allah Subhanahu Wataala datang ke bumi melalui Nabi Muhammad S.A.W. yang berbangsa Arab. Sekalipun berbangsa Arab, namun di tengah-tengah sikap orang-orang Arab yang berbangga dengan darah keturunan, Islam tetap diterima dengan baik oleh bangsa-bangsa selain Arab. Sejarah membuktikan munculnya sahabat-sahabat Nabi seperti Salman yang berbangsa Parsi, Bilal yang berbangsa Habsyi dan Syuaib yang berbangsa Rom. Demikianlah Islam tidak pernah memandang perbezaan darah dan warna kulit sebagai satu isu yang penting.
Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik. Oleh itu, tidak boleh berlaku perbezaan atau penafian hak berdasarkan perbezaan kaum. Manusia secara fitrah dijadikan Allah dalam bentuk, kelompok dan budaya yang berbeza dan semua mesti menerima dan menghormati kepelbagaian dan perbezaan itu sebagai satu lumrah dan hukum alam yang akan terus berlaku. Kepelbagaian dan perbezaan itu bukanlah faktor untuk berpecah belah dan bermusuhan. Seharusnya amalan hidup yang kenal mengenal dan membantu antara satu sama lain agar kedamaian dan kemakmuran hidup bersama dapat dicapai. Dalam hal ini, pendirian saya bahawa kita semua adalah berasal dari satu bapa namanya Adam dan satu ibu yang namanya Hawa. Justeru, kita semua bersaudara dan mana mungkin sesama saudara boleh menindas antara satu sama lain.
Justeru, apabila saya diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, saya perkenalkan dasar Membangun Bersama Islam agar dilihat bahawa Islam bukanlah hanya sekadar agama yang berada di dalam masjid dan madrasah tetapi juga di tampuk pemerintahan. Dalam masa yang sama, hak-hak rakyat yang tidak beragama Islam tetap kita pelihara dan jaga. Hakikatnya, telah terpelihara keharmonian kaum dan kebajikan non-Muslim di bumi Kelantan. Sewaktu rusuhan kaum 1969, Allahyarham Dato’ Asri Muda pada masa itu sebagai Menteri Besar Kelantan telah memanggil semua penghulu untuk diberikan arahan khas bagi memastikan orang-orang Cina yang sedang menjadi mangsa rusuhan di pantai barat terjamin keselamatannya di bumi Kelantan. Alhamdulillah, tidak ada sedikitpun pertumpahan darah berlaku di Kelantan sekalipun di Kuala Lumpur banyak nyawa melayang.
Selain itu, budaya masyarakat Kelantan sendiri telah menjalinkan hubungan mesra antara kaum. Masyarakat Cina misalnya yang tinggal di kampung Melayu di Kelantan tolong menolong demi kepentingan bersama. Mereka juga menghayati budaya Melayu dalam kehidupan harian mereka. Ini jelas menunjukkan masyarakat Cina dan Melayu di Kelantan pandai menyesuaikan diri dengan persekitarannya tanpa paksaan.
Asas sosial inilah turut memberi kesan baik kepada perkembangan ekonomi, politik dan pendidikan di Kelantan. Perasaan muhibah yang terjalin antara masyarakat Melayu, Cina dan India di bandar telah juga melahirkan semacam nasionalism Kelantan. Ini jelas kelihatan apabila masyarakat Cina di Kelantan bertutur Melayu loghat Kelantan tanpa sedikit pun beza jika dibandingkan dengan orang Melayu. Di Kelantan juga terdapat ramai orang Melayu yang menjual makanan bukan Melayu seperti bubur ayam, cha kue, char kue tiaw, tomyam, roti canai dan capati. Budaya seperti ini jarang kelihatan di kota-kota lain di Malaysia. Begitu juga berlaku pengaruh nilai Islam, anak Kelantan bukan Islam juga memahami budaya anti kegiatan haram seperti judi dan penindasan manusia. Saya dimaklumkan di Kelantan sahaja terdapat empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang menerima ramai pelajar bukan Cina – lebih daripada pelajar keturunan Cina.
Inilah keharmonian yang telah lama wujud di Negeri Kelantan. Anak orang Melayu, Cina dan India bukan sahaja berkawan di sekolah, malahan datang bermain di rumah masing-masing. Budaya Kelantan yang memanfaatkan nilai-nilai Islam telah membina satu masyarakat majmuk yang harmoni dan bertoleransi tinggi. Nilai Islam yang dihayati masyarakat Kelantan telah membawa kepada perpaduan yang erat antara kaum tanpa dasar paksaan.
Alhamdulillah, suasana seperti ini terus kita pelihara di Kelantan dan InsyaAllah akan terus terjaga di bawah Dasar Membangun Bersama Islam. Di Kelantan, kita laksanakan polisi hubungan antara kaum yang lebih memberikan keselesaan kepada rakan-rakan daripada bukan Melayu berbanding sebelum ini. Saya sendiri mengarahkan agar bagunan-bangunan yang ingin dibina berasaskan kepada ciri-ciri kaum masing-masing dibenarkan tanpa sebarang sekatan. Ini termasuklah sebuah masjid di Rantau Panjang yang dibina berteraskan seni bina kaum Cina. Masjid ini yang dikenali dengan nama Masjid Beijing sudah siap sepenuhnya dan sudah digunakan untuk solat sejak beberapa tahun lalu. Imam juga didatangkan dari Yunan, China. Sementara arkitek dan pekerja-pekerja mahir yang membangunkan masjid itu didatangkan khusus dari China dan Uzbekistan. Selain itu, dewan yang sedang kita berada pada malam ini sendiripun diubahsuai kepada ciri-ciri berasaskan kepada seni bina kaum Cina dan diluluskan pengubahsuaian pada awal pentadbiran kerajaan ‘Membangun Bersama Islam’ di Kelantan. Begitu pula demi memastikan kebajikan kaum bukan Melayu dan non-Muslim terjaga, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta di dalam bajet Kelantan 2012 untuk sumbangan kebajikan khusus bagi masyarakat bukan Islam.
Dari sudut perayaan pula, kaum Cina bebas mempersembahkan budaya mereka seperti tarian naga dan sebagainya. Bahkan setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, saya dan Exco-Exco serta Ahli-Ahli Undangan Negeri serta kepimpinan kerajaan yang lain turut hadir memenuhi jemputan meraikan sambutan ini. Inilah bukti bagaimana Kerajaan Kelantan dan kepimpinannya pada hari ini tidak menganak tirikan kaum bukan Melayu di dalam pentadbirannya. Disamping itu, turut diadakan perjumpaan-perjumpaan tertentu dengan kaum Cina di Kelantan dalam majlis-majlis keraian yang turut dihadiri bersama orang Melayu, Siam dan India. Senario ini tentunya dapat mengakrab lagi hubungan antara kaum di bumi warisan ulama’ ini. Alhamdulillah, pada saat pihak lain mengangkat keris dan melaungkan hidup bangsa dengan merendah-rendahkan martabat kaun lain, kami di Kelantan mengangkat persamaan darah dan keturunan di tempat yang sepatutnya dan menafikan sebarang bentuk penindasan, ketidak adilan dan diskriminasi kaum.
Dengan penganjuran majlis ini akan dapat merapatkan lagi jurang perbezaan kaum dan menambahkan keharmonian yang telah lama wujud di Negeri Kelantan ini, InsyaAllah.
* SEDUTAN DARI UCAPAN DI MAJLIS MAKAN MALAM MESRA KAUM 2011 PADA 20 ZULHIJJAH 2011 BERSAMAAN 16 NOVEMBER 2011, HARI RABU, JAM 9.00 MALAM BERTEMPAT DI DEWAN PERNIAGAAN CINA, JALAN KEBUN SULTAN, KOTA BHARU.
Entri sebelumnya « Salam Penghayatan Hari Wukuf Sempena Idul Adha 1432H










