Seminar Persempadanan


Maksudnya: “Ribath (menjaga perbatasan wilayah Islam dari serangan musuh-musuh Islam) sehari semalam lebih baik dari pada puasa sunat dan shalat sunat sebulan penuh, dan jika seorang murabith mati di tengah ia melakukan ribath, maka amal perbuatannya itu akan terus berpahala, dan ia diberikan rezekinya di syurga kelak, serta tidak ditanya di dalam kubur (oleh malaikat Munkar dan Nakir)” (Hadis Riwayat Muslim).

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan inayahNya membolehkan kita untuk sama-sama di dalam program Bengkel Persempadanan Maritim dan Darat Negeri Kelantan. Ucapan tahniah kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan yang telah bertungkus lumus menjayakan bengkel ini. Ini merupakan satu program yang sangat bermafaat, khususnya kepada semua warga tadbir kerajaan negeri Kelantan Darul Naim. Justeru semua pihak dapat menghayati kepentingan isu-isu sempadan negeri dengan sebaiknya.

Memahami sempadan

 Sempadan atau hudud bukannya hanya wujud di antara negeri atau negara sahaja tetapi hakikatnya hidup ini sendiri sebenarnya dilingkungi dengan sempadan dosa, pahala, syurga dan neraka. Inilah yang disebut sebagai hudud di dalam bahasa Arab atau sempadan. Melanggar sempadan atau hudud yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk hambaNya bererti telah melakukan satu dosa atau satu penderhakaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT :

 

Yang bermaksud : Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui hudud-Nya atau batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. (Surah al-Nisa’ ayat 14).

Sempadan ini wujud dalam setiap pergerakan hidup manusia. Dalam perniagaan contohnya, sempadannya ialah tidak boleh menipu, berbohong, manipulasi, monopoli dan sebagainya, di dalam hubungan perkahwinan, sempadannya tidak dibenarkan berlaku zalim terhadap pasangan, mendedahkan aib dan rahsia serta mencuaikan hak yang telah diwajibkan. Demikianlah dalam semua aspek hidup manusia ini mempunyai sempadan-sempadan yang tidak boleh dilanggar sama sekali.

Sempadan negeri

 Dalam konteks kenegaraan, penjagaan sempadan negeri atau negara merupakan satu amalan yang mulia di sisi Islam. Hadis di atas menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW memuji amalan ribat iaitu menjaga sempadan negeri atau negara dari dicerobohi oleh musuh sehingga meletakkan amalan tersebut lebih baik daripada melakukan ibadat puasa sunat dan solat sunat.  Bahkan mereka yang terkorban di dalam menjaga sempadan negara diberikan jaminan yang sangat mulia iaitu terselamat daripada azab kubur. Ini bererti isu persempadanan dan kedaulatan antara sesebuah negara dengan negara yang lain bukanlah merupakan isu yang baru bahkan ia merupakan isu yang telah lama wujud dalam tamadun manusia.

Bahkan jika disingkap di dalam sejarah, raja-raja terdahulu yang berkuasa tidak akan dapat melakukan apa-apa terhadap musuhnya yang berada di luar daripada sempadan kuasanya. Ini dapat dihayati melalui kisah Nabi Musa AS sewaktu melarikan diri dari kekejaman Firaun di Mesir lalu baginda bertemu dengan seorang tua di negeri Madyan yang berkata kepadanya :


Bermaksud : Janganlah kamu bimbang, kamu telah selamat dari kaum yang zalim.

Para mufassirin berpandangan bahawa Nabi Musa telah dikatakan selamat dari kekejaman Firaun ialah kerana negeri Madyan berada di luar sempadan kuasa Firaun yang bermaharajalela di Mesir. Dalam erti kata lain, sempadan di antara kedaulatan sesebuah negara atau negeri dengan kedaulatan yang lain telah wujud semenjak tamadun awal manusia bertapak di bumi ini. Justeru, isu persempadanan ini bukanlah merupakan satu isu yang baru timbul dan sebagai warga urus tadbir yang diberikan kepercayaan untuk menggalas pelbagai amanah, wajiblah untuk kita turut mengetahui secara mendalam aspek-aspek teknikal yang terdapat di dalam isu ini.Lebih jauh lagi sebenarnya persempadanan inilah yang akan membuktikan hak terhadap hasil-hasil mineral yang terdapat dalam perut bumi seperti minyak, besi dan lain-lain hasil galian. Jika hak-hak ini dinafikan sekalipun jelas bahawa hasil yang dipunggah itu berada di dalam kedaulatan sesebuah negeri atau negara, mereka yang merompaknya akan bertanggunjawab di hadapan Allah SWT kelak. Rasulullah SAW bersabda :


Yang bermaksud : “Barangsiapa mengambil tanah (orang lain) meski sedikit dengan tanpa hak necaya dia akan ditenggelamkan dengannya pada hari Kiamat sampai ke (dasar) tujuh lapis bumi.”( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Justeru dengan memahami secara mendalam aspek-aspek teknikal yang terdapat di dalam isu-isu persempadanan maritim dan daratan ini sudah tentu akan mendedah secara lebih terperinci isu-isu melibatkan pengenalan sempadan darat dan maritim, kaedah-kaedah penentuan sempadan serta kaedah pengukuran sempadan antarabangsa dan negeri Kelantan. Bahkan ia  juga turut melibatkan sesi demonstrasi dan latihan amali berhubung kaedah-kaedah pengukuran yang digunakan pada masa kini.

Semoga ilmu yang ditimba menerusi bengkel kali ini dapat memanfaatkan ke arah lebih memahami proses-proses penentuan dan pengkuran sempadan.

Kepada Allah SWT kita berserah dan didoakan bengkel kali ini menjadi amalan kebajikan yang diberikan ganjaran pahala oleh-Nya, insya-Allah.

 

Amanat di majlis penutup Bengkel Persempadanan Maritim dan Darat Negeri Kelantan, 24 Jamadil Awwal 1433H bersamaan 16 April 2012M (Isnin), di Tok Aman Bali Resort, Pasir Puteh Kelantan.

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan