Rayuan Pengundi Plihanraya Kecil DUN Bukit Selambau, Kedah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dan Salam Sejahtera

Tuan/Puan bakal-bakal pengundi sekalian,

SALAM SILATURRAHIM

Setiap kali Pilihan Raya Kecil berlaku, semua orang boleh menjadi agak kelam kabut. Boleh dikatakan antara fakta, kebenaran dan kepalsuan akan menjadi semakin banyak. Namun selaku orang Islam, kita mesti sentiasa tenang. Kita kena faham bahawa kekuasaan ada kena mengena dengan pemerintahan. Hanya dengan memerintah sahajalah, kita boleh menentukan kegiatan menegakkan maaruf dan mencegah kemungkaran dapat dilakukan dengan berkesan. Alhamdulillah, Negeri Kedah Darul Makmur sedang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang komited terhadap Islam dan kesejahteraan semua rakyat.

Islam Agama Sejagat

Tanpa mengira perbezaan agama, Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah untuk semua. Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama yang menjamin kesejahteraan untuk seluruh umat manusia. Kita menolak faham kebangsaan Melayu yang dipegang oleh Umno kerana dasar perjuangannya yang boleh membawa kepada diskriminasi. Usahkan dengan orang Cina, Siam, India; sesama Melayu itupun mereka melakukan diskriminasi. Dalam amalan Umno, hanya Melayu dalam Umno sahajalah yang menjadi ‘anak emas’.

Umno sibuk bercakap soal membela agama, bangsa dan tanah air. Usahkan agama dan bangsa yang boleh dibela; jaga Bahasa Melayu sendiripun, Umno sudah gagal.

Semangat Sekular

Selaku parti sekular, Umno telah mengurung agama sekadar berperanan di surau dan masjid. Apabila Islam tidak didaulatkan dalam sistem pemerintahan maka wujudlah pelbagai krisis akhlak, masalah rasuah, amalan kroni, masalah ketirisan, dedah, dadah, belasah, HIV dan Aids – pendek kata seribu satu macam penyakit. Belum lagi dilihat suasana perpaduan kaum yang semakin terancam.

Sokongan Terhadap Umno

Rakyat sudah tidak mempunyai keyakinan bahawa Umno dapat dipulihkan. Sudahlah terdapat seribu kes rasuah yang disahkan sendiri oleh Lembaga Disiplin Umno; cara menanganinya juga telah dilihat tidak konsisten. Ada yang pernah digantung 6 tahun, ada pula setakat 3 tahun dan ada pula sekadar diberi amaran tetapi masih boleh bertanding dan menang. Itu belum lagi dilihat pemimpin-pemimpin yang telah digantung dan dipecat. Entahlah. Semua orang boleh perhati bahawa orang yang masuk Umno tidak ada. Yang keluar ada!

Calon Pilihan Pengundi

Jika calon sebelum ini adalah seorang India, calon yang Pakatan Rakyat tampilkan pada kali ini juga adalah seorang India. Beliau akan mewakili pengundi Islam dan bukan Islam, sama ada Melayu atau bukan Melayu. Ini tiada masalah. Apa yang penting ialah saudara S. Manikumar mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR). Perkataan kunci di sini ialah ‘Perjuangan Untuk Mencari Keadilan’. Prinsip keadilan ini adalah selaras dengan agama Islam itu sendiri. Setiap kali Khutbah Jumaat kita sekalian diperingatkan oleh semua Tok-Tok Khatib di semua masjid di seluruh dunia tentang Ayat yang bernaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah An Nahl: Ayat 90).

Selagi calon kita dapat memikul tugas untuk membawa keadilan, maka ia secara tidak langsung sedang menyampaikan khidmat kepada Islam dan umat Islam. Jangan sampai kita menjadi tidak cermat di sini sehingga boleh memberi keuntungan undi kepada parti lawan yang terang-terang sudah terbukti menentang PAS, menolak Islam, bahkan mengkhianati umat Islam.

SALAM PENUTUP

Dalam suasana Umno yang telah ditolak oleh rakyat, pengundi Bukit Selambau harus berkongsi roh yang sama. Mari kita tentang Umno dengan politik wang dan pelbagai penyakit tamak halobanya. Biar Umno tenggelam dalam rasuah.

Mari kita buka babak baru dan muka surat baru dalam sejarah demokrasi untuk Malaysia mulai hari ini bermula di Bukit Selambau. Tinggalkan Umno yang bersalah dan sentiasa menimbulkan masalah. Undilah saudara S. Manikumar. Undilah calon Pakatan Rakyat.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan