RAYUAN KHAS TOK GURU AL-MURSYIDUL AM KEPADA PENGUNDI MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM KE-13

1
Assalamu’alaikum waramatullahi wa barakatuh.

Saudara-saudari pengundi sekalian,

Dalam masa kurang dari 48 jam dari sekarang, kita akan melalui satu proses demokrasi bagi menentukan parti manakah yang akan memegang tampuk pemerintahan negara untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Pada penghujung tempoh berkempen ini, saya yakin saudara-saudari telah menerima pelbagai bentuk maklumat mengenai tawaran-tawaran dari Barisan Nasional mahu pun dari Pakatan Rakyat, sama ada melalui media arus perdana atau media baru seperti Facebook, Blog, Twitter dan sebagainya.

Berdasarkan perkembangan kempen selama dua minggu ini, maka saya dengan rendah hati merayu agar saudara saudari sekalian dapat mengundi calon-calon Pakatan Rakyat. Jika di Dun/Parlimen itucalon PAS, maka undilah PAS. Begitulah di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding, undilah PKR dan di mana ada calon DAP, maka undilah DAP.

Atas semangat pemuafakatan tahaluf siasi, PAS, PKR dan DAP sedia menjadi pilihan terbaik dari apa yang Barisan Nasional lakukan selama 55 tahun memerintah Malaysia.

Justeru PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan politik Islam, sudah tentu PAS tidak akan berganjak seinci pun dalam memelihara kesucian agama Islam. Atas penegasan ini, maka PAS sedia menawarkan peranan yang lebih besar bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. PAS sedia memastikan kedudukan Islam dimartabatkan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah perjuangan PAS sejak dari dahulu lagi––PAS  tanpa rasa kekok atau apologetik––PAS sentiasa meletakkan kesucian Islam pada kedudukan yang paling tinggi di dalam perjuangan kami.

Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja Berperlembagaan. Hal ini penting, tatkala Sistem Beraja dicabar oleh beberapa pindaan Perlembagaan sejak 80-an lagi, PASlah satu-satunya parti yang konsisten di dalam mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan ini di hadapan rakyat. Natijahnya, PAS sedia memastikan institusi Raja terus disanjung, seiringan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai institusi bersejarah di tanah air tercinta ini.

Oleh itu PAS akan terus memelihara keluhuran Perlembagaan sebagai undang-undang dasar yang paling tinggi di dalam sistem pemerintahan Negara, dan tidak rela perlembagaan itu dimanipulasikan oleh mana-mana pihak demi agenda politik tertentu. Tekad PAS adalah untuk terus menjuarai usaha-usaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat, khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera sebagaimana termaktub di dalam Perkara153 Perlembagaan Malaysia. PAS tidak akan segan silu untuk menjadi jurubicara rakyat dalam Perkara ini, dan dalam masa yang sama, memberikan hak-hak yang adil dan saksama kepada seluruh kaum-kaum lain sebagaimana peruntukan yang ada.

Akhir sekali, saya memberi jaminan bahawa PAS akan terus berjuang untuk membebaskan penjawat awam dari cengkaman politik dan mempastikan tiada seorang pun kakitangan awam menjadi mangsa politik walaupun mereka mempunyai kefahaman politik yang berbeza. Kita memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun penjawat awam, termasuklah 15,000 kakitangan KEMAS dan 10,000 kakitangan JKKK di seluruh negara yang kononnya akan dibuang kerja jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas PRU-13 nanti.

Undilah PAS. Undilah calon-calon Pakatan Rakyat.

Ini kalilah! Ubah!

Kekal Kelantan Ubah Putrajaya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mursyidul Am PAS

merangkap Menteri Besar Kelantan

Jumaat, 22 Jamadil Akhir 1434 bersamaan 3hb Mei 2013.

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan