Dalam agama kita sendiri, diminta orang Islam meraikan hari raya dua kali setahun, sebutan raya ini menimbulkan rasa gembira, suka dan meriah di kalangan anak-anak dan orang-orang tua sekali pun. Hatta bila kita raya, kita tidak dibenarkan puasa, kalau kita puasa ertinya kita tidak sudi menerima ‘rukhsah’ dari Allah. Apabila tidak boleh puasa kita dikehendaki makan dan minum.
Di samping itu juga kita diminta untuk memberi makan kepada fakir miskin. Ketika menyambut Raya Puasa, sebelumnya kita ada zakat fitrah untuk diberi kepada orang yang layak menerimanya. Sementara pada Hari Raya Haji ini pula, kita diminta untuk melakukan korban. Firman Allah SWT:

”Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”(Surah Al-Hajj ayat 36)