Maulidur-Rasul : Nabi Sebagai Contoh Kepimpinan

Maksudnya : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah Al-Ahzab ayat 21).

Bulan ini bulan Rabiul Awal, bulan Maulidur-Rasul, bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Maka setiap 12 Rabiul Awal akan disambut dan diingati kelahiran baginda.

Sebagaimana yang kita yakin, Nabi Muhammad adalah pembawa agama Islam. Baginda mengajar kita segala ajaran agama. Nabi meminta kita sebagai umatnya agar terus berpegang teguh kepada dua perkara, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Al-Quran pula diturunkan kepada Nabi dan baginda menyampaikan kepada kita semua kandungan Al-Quran sebagai panduan untyuk semua umat manusia. Namun sekarang Nabi telah meninggalkan kita sudah lebih 1400 tahun. Sekarang yang ada adalah sunnahnya. Justeru Nabi tinggalkan kita Al-Quran dan As-Sunnah.

Selain itu Nabi juga meninggalkan keturunannya serta orang-orang yang beriman. Apa yang penting, Al-Quran dan As-Sunnah hendaklah menjadi ikutan bagi memastikan kita termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang beriman.

Justeru Al-Quran adalah petunjuk dan panduan bagi menjamin hidup kita semua tidak terkeluar daripada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Sementara As-Sunnah pula adalah apa yang dicontohkan oleh Nabi untuk kita semua ikuti. Kerana Nabi merupakan pemimpin kita dan contoh kepimpinan di sepanjang zaman.

Atas nilai mencontohi kepimpinan Nabi itu, maka setiap kita adalah pemimpin dan sebagai pemimpin seharusnya kita mampu menzahirkan kepimpinan yang boleh menjadi contoh. Malah, paling baik apabila seorang pemimpin itu sendiri berani berkata, aku ni mencontohi Nabi Muhammad SAW.

Lebib-lebih lagi bagi pemimpin dan perjuang Islam, kita kena mengaku bahawa contoh kepimpinan kita ialah Nabi Muhammad SAW. Justeru atas sebab mencontohi Nabi, kita hendaklah melengkap diri dengan ilmu-ilmu Islam dan mengamalkan ilmu itu, agar kita menjadi pemimpin yang berilmu dan berakhlak serupa dengan kealiman dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin ummah.

Semoga sambutan Maulidur-Rasul bagi tahun 1433 Hijriah kali ini bakal merahmatkan kita semua, di samping mendapat keberkatan Allah SWT jua di sepanjang masa. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW dan keredahaan Allah SWT.

 

 

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan