Mahkamah Tolak Saman Timbermine - Minta Rakyat Kelantan Solat Sunat Syukur

Firman Allah SWT:




Bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (Surah Ibrahim ayat 7).

Pada hari Isnin, 3 Ramadhan (23 Julai 2012) Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan mengetepikan saman berjumlah RM800 juta oleh syarikat Timbermine Sdn. Bhd. terhadap Kerajaan Negeri Kelantan. Penghakiman itu dibuat berikutan pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Rabu, 30 Disember 2009.

Berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu, Kerajaan Negeri diarah RM800 juta kepada Timbermine menurut tuntutannya melibatkan ganti rugi RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat, selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan RM1.74 juta, faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Saya pernah mengulas perkara ini semasa kuliah Jumaat di Medan Ilmu (1 Januari 2010) kerana saya agak terkilan dengan apa yang berlaku. Ini kerana kes saman tersebut adalah kerja orang lain, kerja kerajaan BN dulu. Kerana orang lain buang sampah, kita kena sapu. Inilah penyakit bila kita beri tugas jaga negeri kepada orang yang tidak pandai.

Mengenang kepada cerita di sebalik kes saman Timbermine ini, memanglah berlaku perjanjian antara Kerajaan Kelantan dengan syarikat ini tahun 1964. Tetapi ketika kerajaan campuran tahun 1975, ia dibatalkan kerana campurtangan pihak tertentu yang bukan daripada PAS. Justeru Kerajaan Negeri selepas itu (sekitar 1977) mengalami darurat, maka PAS dituduh menjual negeri kepada pihak Singapura. Namun, selepas itu BN yang mendapat kuasa dari rakyat, mereka gagal menyelesaikan isu itu secara baik hingga menyebabkan Kerajaan Negeri disaman pada tahun 2004. Sedangkan, timbul cerita ketika itu tuduh PAS yang gadai tanah balak kepada tauke Singapura, iaitu Timbermine dan pihak BN tuduh kata nak tebus balik jika undi BN, kalau tak undi akan digadai selamanya.

Ayat kempen puak BN ketika itu telah masuk dalam kepala rakyat. Sebab itulah BN dapat undi dan menang tahun 1978. Kita sangka bila menang, BN sudah tebus balik. Namun apa yang berlaku kita Kerajaan sekarang ini kena saman RM800 juta. Ia suatu penipuan kepada rakyat Kelantan.

Bersyukurlah, kerana tergerak hati kita untuk rayu. Maka Kerajaan Negeri telah merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu tersebut.  Justeru saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peguam, Dato’ Sulaiman Abdullah yang arif menghujah bagi mengenepikan saman. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, saya mohon seluruh rakyat Kelantan dapat menunaikan solat sunat syukur dua rakaat bagi menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Mudah-mudahan dalam semangat Ramadhan yang mulia ini, kita semua ditambah nikmat dan keredhaan-Nya jua.

Allahu Akbar.

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan