BERSIH 3.0 : MISI MENEGAK KEADILAN

Tanggungjawab untuk hadir ke Bersih 3.0 adalah wajib bagi seluruh rakyat di negara ini, khususnya bagi kita yang cintakan keadilan. Semua rakyat sewajarnya dapat hadir pada program Bersih 3.0 dengan untuk “Duduk dan Bantah” terhadap proses pilihan raya di Malaysia hari ini. Ia merupakan misi untuk menegakkan keadilan dalam negara ini.


Ini memandangkan ketidakadilan amat berleluasa dalam proses pilihan raya hari ini.  Ketidakadilan merupakaan suatu ciri kezaliman. Maka mana-mana pihak yang cenderung terhadap kezaliman adalah dikutuk oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak? Iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).”

(Surah An-Nisaa’ 4:75)

Justeru kehadiran bersama Berish 3.0 adalah sebahagian daripada ikhtiar kita bersama-sama dengan pihak yang memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat. Oleh kerana itu, mana-mana pihak yang melakukan perkara kezaliman –– tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang.

Tuntutan Bersih 2.0

Dalam lapan tuntutan Bersih 2.0 lepas, satu tuntutan ialah supaya dibuat senarai pemilih yang bersih. Ia berpunca daripada senarai pemilih yang adalah diragui, tidak bersih, serta didakwa ada pengundi hantu. Ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam. Apakah pilihan raya akan adil sedangkan senarai pemilihnya kotor?

Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara, kemudian melakukan sebagaimana Barisan Nasional buat sekarang, termasuk guna pengundi hantu untuk kekal berkuasa dan mentadbir negara; tentu saja Umno tidak mahu.

Kita yakin mereka –– Barisan Nasional –– tidak boleh terima. Soalnya, kenapa sampai sanggup adakan pengundi hantu, hingga sanggup pula bawa masuk rakyat asing dari luar negara yang mereka itu tidak ada kena mengena dengan kita. Jelas ia satu taktik semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.

Peringatan Allah

Sebab itu atas setiap perbuatan mungkar pasti akan berdosa besar. Apakah pihak pemimpin Barisan Nasional atau pihak-pihak yang bersubhat dengannya tidak merasai berdosa bila pertahan benda yang mungkar dalam pilihan raya hari ini?

Peringatan Allah dengan firman-Nya:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Surah Al-Anfaal 8:25)

Jika dihayati daripada kesan firman Allah ini, natijahnya semua pihak yang menggunakan kaedah yang zalim, di sisi Allah akan menerima dosa dan atas setiap dosa pasti diazab oleh Allah (melainkan mendapat keampunan-Nya).

Justeru jika kita menang atas peraturan yang mungkar (mengguna pengundi hantu, peraturan zalim), maka segala elaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakil rakyat, gaji, kereta dan semuanya adalah haram serta tidak sah di sisi Islam. Perkara ini bukan perkara main-main. Sebagai perjuang Islam, kita kena ingat akan Allah dan balasan akhirat.

Begitu pula, bagi mereka yang sanggup menerima tugas sebagai pengundi hantu. Kerja itu tetap haram, dan atas rezeki (upah) yang diterima sebagai imbuhannya juga haram. Duit yang digunakan dari hasil haram Allah tak akan terima, akhirat lagi kena azab. Ingatlah, kuasa Allah bukan macam manusia, kerana Allh Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, Allah Maha Adil menilai segala perbuatan hamba-Nya.

Kerana itu, ‘wajib’ rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai untuk menjayakan Bersih 3.0 pada 28 April ini. Perkara ini telah saya sebutkan semasa Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar baru-baru ini.

Semoga tujuan Bersih 3.0 untuk menentang kezaliman dalam pilihan raya akan membawa kepada berlakunya proses pilihan raya yang adil, telus dan bersih. Sama-sama kita tegakkan keadilan demi keredaan Allah SWT dan Bersih 3.0 berjalan dengan jayanya.

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan