Bersetuju ‘makanan minda’ sebagai pendekatan pengundi.

Analisis Prof. Dr. Jayum Jawan (Sinar Harian 20 Mac 2013) mengenai kemugkinan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa bertanding di Putrajaya amat wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Terutama kenyataannya mengenai ‘kemungkinan Husam mempunyai peluang untuk menang berdasarkan populasi Putrajaya sebagai Bandar Melayu.’

Paling menarik, Dr. Jayum melihat mungkin masyarakat Melayu di Putrajaya perlukan perubahan dan pembaharuan. Lalu beliau mencadangkan agar pengundi Melayu bandar perlu dihidangkan ‘makanan minda’ bukannnya keperluan seperti di luar bandar.

Atas cadangan itu, saya bersetuju hakikatnya pengundi bandar tidak wajar dibawa minda mereka dengan politik luar bandar. Pengundi bandar tidak memerlukan umpan projek ala kampung seperti janji zink, jalan tar dan sebagainya.

Justeru cadangan itu agak selari dengan teguran saya sebelum ini terhadap cara pemimpin Barisan Nasional melayan rakyat seperti haiwan dalam pemberian BR1M.

Kini sampai masanya (dalam PRU13) hak dan maruah rakyat harus dihormati. Minda pengundi bandar harus dilayan secara ilmu (diberi makanan minda), bukan disogok dengan nilai-nilai politik kampung. Malah minda pengundi bandar hendaklah diperlebarkan kepada pengundi luar bandar demi mengajak majoriti rakyat berfikiran matang dalam berpolitik.

Amat tepat apa yang disarankan Dr. Jayum agar memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan ketelusan dan integriti. Bagi saya, isu-isu ini adalah teras yang selari dengan prinsip Islam yang sentiasa memerangi rasuah dan penyalahgunaan hak serta ketidakadilan. Wajar sekali ia dijadikan bual-bicara umum dalam memartabatkan maruah pengundi demi memacu perubahan ke arah yang lebih baik. Hal inilah juga dituntut oleh Islam dalam urustadbir kerajaan mahupun hal ehwal rakyat.

Firman Allah:

at-taubah
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. (Surah At-Taubah 9:105)

Oleh itu, amalan politik kita hendaklah berpaksikan keyakinan hakikatnya apa yang kita buat (dalam semua urusan hidup termasuk hal ehwal politik dan pilihan raya) adalah sentiasa di dalam pemerhatian Allah SWT. Atas prinsip ini, ketelusan dan integriti hendaklah menjadi keutamaan kalangan pemimpin politik demi mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Sesungguhnya PAS bertanggungjawab menyebar luaskan prinsip politik sebegini ke segenap lapisan masyarakat, di bandar mahupun luar bandar.

Kota Bharu.
9 JamadiAwal 1434 bersamaan 21 Mac 2013

Bookmark and Share   

Entri Berkaitan