Arkib pada September, 2010

Menjunjung Kasih Merafak Sembah Dan Tahniah

Diterbitkan pada Kategori Ucapan

Bagi pihak kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan sekalian rakyat jelata, saya menjunjung kasih merafak sembah dan tahniah sempena pemasyhuran KDYMM Tuanku Muhammad Faris Petra ibni al-Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 dengan membawa gelaran Sultan Muhammad ke-V.

Dengan pemasyhuran Tuanku yang merupakan amalan dari Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, saya penuh yakin rakyat Kelantan seluruhnya setia bernaung di bawah pemerintahan Tuanku. Sudah tentu rakyat jelata akan mendapat manfaat dengan adanya seorang Sultan yang berpengetahuan agama, prihatin dan dekat di hati sekalian rakyat jelata.

Saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT melimpahkan taufik dan inayahNya kepada KDYMM Tuanku Sultan Kelantan agar terus selamat sejahtera bersemayam dengan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Diharapkan berkat naungan Tuanku, Negeri Kelantan Darul Naim dan rakyatnya akan bertambah maju dan makmur.

Allahu akbar.
TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 17 Syawwal 1431 H | 26 September 2010

Takziah ADUN Galas

Diterbitkan pada Kategori Takziah, Ucapan

“Wahai Tuhan ku, dan kerana Engkau adalah ahli yang menepati janji dan kebenaran, maka ampuni dan kasihanilah dia, sesunguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Mengasihani.”

Selaku pimpinan PAS, juga Menteri Besar Kelantan, saya dengan ini merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Chek Hashim Sulaima, ADUN Galas yang meninggal dunia di Hospital Al-Islam di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 18 Syawal 1431 (27 September 2010) yang lalu. Kepada ahli keluarga Allahyarham yang sedia menghadapi dugaan sepanjang keuzurannya, harapnya kuatkan kesabaran dan berserah kepada Allah.

Pemergiannya adalah kehilangan yang besar kepada PAS dan rakyat, khususnya di kawasan Hulu Kelantan (Gua Musang).
Chek Hashim adalah individu yang mempunyai semangat yang tinggi dan cekal untuk memperjuangkan Islam dengan berbekalkan ilmu pengajiannya yang pernah belajar sehingga ke Pakistan.

Kegigihan Chek Hashim untuk memperkembangkan Islam seharusnya dipuji kerana Galas adalah kawasan Hulu Kelantan yang memerlukan usaha yang gigih untuk melakukan kerja dakwah.

Arwah seorang telah banyak berkorban menjaga rakyat dalam kawasan yang wakilinya. Meskipun begitu disebabkan keuzurannya, daya tahannya amat terpuji dan sanggup berubat sampa ke Negeri China.

Atas panggilan Allah, dia telah kembali menemui-Nya. Kita kehilangan orang muda yang bekerja dengan sukarela. Maka kita mendoakan, dan minta semua lapisan rakyat turut mendoakan agar rohnya ditempatkan oleh Allah SWT bersama orang-orang soleh.

Pejabat Menteri Besar Kelantan
19 Syawal 1431/28 September 2010.

Salam Idulfitri: Kekalkan Hidup Beragama

Diterbitkan pada Kategori Ucapan

Bismillahhirrohmanirrahim

Firman Allah SWT:

Bermaksud: “(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Quran, surah Al-Fath 48:4)

Segala kebesaran milik Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus berabdi dengan beribadat di sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut Hari Raya Idulfitri, 1 Syawal 1431H ini. Sesungguhnya kesempatan setiap Ramadhan disediakan oleh Allah SWT wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan memperbanyakkan amal ibadah demi meningkatkan ketaqwaan selari dengan tujuan berpuasa.